Tuesday 29 April 2014

JURNAL PRAKTIKUM MINGGU 12



JURNAL REFLEKTIF MINGGU KE 12

(13 APRIL 2014 hingga 17 APRIL 2014 )

NamaPelajar   : Rodziah Bte Mohd Salleh @ Zakaria
Opsyen           : Pendidikan Islam
NamaSekolah : SK IJ Convent
Tarikh              : 13  APRIL 2014 – 17 APRIL 2014



1

Isu / Masalah / Peristiwa:

  • Masalah minggu ini yang ingin saya utarakan ialah berkaitan peningkatan diri dalam profesionalisme perguruan
.

2

Pandangan Dan PerasaanTerhadap Isu / Masalah / Peristiwa

·         Pada pandangan saya, pada minggu terakhir saya menjalani praktikum di SK IJ Convent telah memberi kesan yang mendalam dalam membentuk diri menjadi warga pendidik. Pelbagai pengalaman yang berguna telah saya pelajari di sekolah ini dan ramai kenalan baru dari guru-guru dan murid-murid yang begitu membuatkan saya terharu dengan layanan yang di berikan oleh mereka. Sebagai seorang guru saya perlu mengambil inisiatif untuk memajukan kualiti dan kemahiran-kemahirannya sebagai individu yang menyumbang kepada masyarakat dan Negara. Dalam profesion perguruan, seorang guru yang berdedikasi perlu yang mahu berjaya harus mempertingkatkan imej diri, status dan pengetahuan kendiri melalui program-program peningkatan profesionalisme keguruan.




3


AnalisisIsu / Masalah / Peristiwa:
3.1)  Punca / Sebab:
·         Menurut Mok Song Sang (1996), konsep profesionalisme boleh dirumuskan sebagai salah satu perkerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi yang mempunyai autonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang telah ditetapkan oleh organisasinya.
·         Kamus Dewan Edisi Ke 3 menjelaskan bahawa profesionalisme bermaksud sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara perlaksanaan sesuatu dan lain-lain) sebagaimana yang sewajarnya terdapat atau dilakukan oleh orang yang  profesional. Antara punca yang menyebabkan seorang guru tidak profesional dalam kerjayanya ialah :
1.    Tidak mematuhi kod etika perguruan yang telah ditetapkan.
2.    Tidak dapat mengawal emosi dan bertindak terburu-buru.
3.    Guru tidak mempunyai disiplin diri yang tinggi dalam kerjaya yang diceburi seperti datang lewat ke sekolah dan sebagainya.

3.2)  Kelemahan / kekuatan:
·         Apabila seseorang memulakan kerjayanya sebagai seorang guru, akan menghadapi pelbagai cabaran dan melalui beberapa pengalaman. Segala pengalaman manis dan pahit akan memperkayakan diri mereka. Guru-guru professional yang cemerlang belajar melalui segala kesilapan dan pengalaman mereka.
  • Kualiti guru-guru bersama dengan tahap pengetahuan, kemahiran dan sikap mereka adalah penting dalam proses pembinaan negara. Guru-guru yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran mereka adalah dianggap sebagai professional.
·         Pembelajaran adalah proses sepanjang hayat. Guru-guru harus terus memperoleh pengetahuan sepanjang hayat walaupun mereka  telah menamatkan pendidikan formal mereka. Guru-guru harus memperkayakan diri sendiri dengan mengamali kehidupan yang sentiasa  berasaskan budaya ilmu.


4

Cadangan idea untuk menyelesaikan isu:

·         Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan bagi meningkatkan tahap profesionalisme perguruan oleh pelbagai pihak. Antaranya ialah :
1.    Guru hendaklah didedahkan dengan kod etika  guru. Kod Etika guru merupakan satu garis panduan bagaimana tingkah laku di dalam profesionalisme perguruan.
2.    Guru hendaklah mendisiplinkan diri dengan mengawal situasi yang berlaku di sekolah dengan tenang dan bijak tanpa emosi yang tidak diingini.
3.    Guru hendaklah sentiasa mengikuti sesi kaunseling peningkatan profesionalisme bagi mempertingkatkan diri menjadi seorang guru yang professional.


5

Tempoh masa yang diberikan untuk menyelesaikan isu:

Saya akan cuba menyelesaikan isu ini selagi bergelar warga pendidik kerana setiap masa merupakan pengalaman yang berharga dalam kerjaya sebagai seorang guru.


6

Pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan:

·         Semoga permasalahan yang timbul sepanjang bergelar guru dapat diselesaikan dengan baik dan betul. Saya juga mengharapkan guru-guru senior dapat memberikan tunjuk ajar kepada saya. Saya juga tidak akan berputus asa menimba ilmu dalam bidang pendidikan bagi memperbaiki diri menjadi guru yang lebih sempurna dan dihormati pada masa akan datang. Kerjasama daripada pelbagai pihak amat saya hargai bagi membentuk diri saya menjadi seorang warga pendidik yang bermutu dan profesional.



7


Tindakan Susulan:

Sebagai seorang guru, saya akan perlu sentiasa fokus dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik. Saya juga perlu memberikan perhatian terhadap persekitaran sekeliling agar proses pengajaran dan pembelajaran sesuai dengan keadaan pelajar di sesuatu tempat. Ini kerana pelajar dibandar dan dikampung tidak sama cara pergaulannya disebabkan faktor budaya, cara pergaulan dan juga rutin kehidupan harian. Faktor ini perlu diambil berat agar guru dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dalam melaksanakan tugas sebagai guru.

JURNAL PRAKTIKUM MINGGU 11



JURNAL REFLEKTIF MINGGU KE 11

(06 APRIL 2014 hingga 10 APRIL 2014 )

NamaPelajar   : Rodziah Bte Mohd Salleh @ Zakaria
Opsyen           : Pendidikan Islam
NamaSekolah : SK IJ Convent
Tarikh              : 06  APRIL 2014 – 10 APRIL 2014



1

Isu / Masalah / Peristiwa:

  • Masalah minggu ini berkaitan dengan tindakbalas murid apabila disuruh tampil ke hadapan kelas dan memberikan pandangan. Mereka hanya berdiam diri dan mengatakan “tidak tahu” kerana tiada keyakinan untuk mengutarakan pendapat sendiri.
.


2

Pandangan Dan PerasaanTerhadap Isu / Masalah / Peristiwa

Alhamdulillah, kesemua murid di dalam kelas tersebut tidak menimbulkan banyak masalah bahkan setiap aktiviti yang telah saya rancang untuk mereka dapat dijalankan dengan baik dan jayanya. Namun demikian, apabila ada aktiviti yang melibatkan pembentangan di hadapan kelas, agak sukar untuk mendapatkan murid secara sukarela membuat pembentangan di hadapan kelas. Tujuan saya melibatkan mereka dalam aktiviti yang dirancang adalah supaya mereka dapat berkongsi apa yang mereka rasa atau fikirkan dengan rakan-rakan yang lain. Selain itu, tujuan saya juga adalah untuk melatih mereka untuk berkomunikasi di hadapan umum. Apa yang mereka perlu buat adalah membaca teks atau memberikan pendapat mereka yang tidak mempunyai hukum salah atau betul. Apa yang berlaku biasanya adalah kebanyakan murid akan mula menundukkan kepala atau ada yang menuding jari ke arah murid-murid lain dan menyebut nama rakan lain apabila diminta mengutarakan pendapat di hadapan kelas.


3

AnalisisIsu / Masalah / Peristiwa:
3.1)  Punca / Sebab:
  • Menurut Nurabadi (2007) antara sebab murid malu untuk bertanya ialah kerana tidak yakin dengan diri sendiri dan bimbang diketawakan oleh orang lain. Begitu juga untuk bercakap di hadapan kelas.
  • Pada pandangan saya, persamaan dua perkara ini ialah orang yang bercakap di hadapan akan menjadi tumpuan seluruh kelas. Jadi apa yang dilakukan akan menjadi tontonan umum. Kalau salah atau ada yang tidak kena, pasti akan ditertawakan. Selain itu, mereka juga mungkin tidak biasa untuk bercakap di hadapan kelas kerana ia tidak menjadi amalan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran lain. Perkara ini akan berlaku apabila guru mengamalkan interaksi sehala dengan murid-murid. Aktiviti pembelajaran ini dipanggil pembelajaran bercorak pasif di mana hanya guru yang bercakap dan murid-murid hanya mendengar.
  • Menurut Teori Psikososial Erikson (1963), pada usia 9 tahun murid mengalami fasa industri lawan rasa rendah diri. Bagi membantu murid menguasai kemahiran bercakap di khalayak, guru perlu memberi bimbingan dan galakan supaya murid tidak berasa rendah diri dalam pencapaian akademik kelak bahkan dalam hubungan sosial denga individu lain di persekitaran mereka.

3.2)  Kelemahan / kekuatan:
·         Kelemahan yang bakal wujud sekiranya isu ini tidak dibendung ialah bakal melahirkan generasi yang kurang berdaya saing dan tidak mempunyai pemikiran yang kreatif dan kritis dalam mengendalikan masalah. Disamping itu, mereka juga tidak berani membuat perubahan menyebabkan Negara tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang inovatif serta dinamik.
·         Kekuatan yang  dapat dilihat sekiranya isu ini dibendung ialah dapat melahirkan generasi yang berdaya tahan tinggi serta tenaga kerja yang profesional serta berkualiti.

4

Cadangan idea untuk menyelesaikan isu:

  • Setelah menganalis masalah di atas, apa yang saya boleh lakukan ialah bergerak ke tempat di mana murid tersebut duduk dan memimpinnya bergerak ke hadapan sambil mengatakan kepadanya yang guru akan menemaninya di hadapan. Jika dia berdiam diri, bantunya dengan mengucapkan apa yang sepatutnya disampaikan agar murid dapat mengikuti apa yang guru ucapkan.
  • Selain itu, berikan galakan kepada murid-murid yang telah membentang di hadapan. Contohnya arahkan semua murid memberi tepukan kepadanya. Guru juga boleh memberi galakan dengan memberikan kata-kata pujian dan positif seperti ”Bagus!” dan ucapan terima kasih. Pemberian hadiah contohnya coklat atau apa sahaja juga boleh membantu menggalakkan murid-murid untuk bercakap di hadapan kelas. Ia perlu diberikan sejurus selepas murid tersebut telah bercakap di hadapan agar dapat menyuntik motivasi ekstrinsik dalam diri murid-murid yang lain supaya mahu bercakap di hadapan kelas.
  • Menjadikan aktiviti pembentangan di dalam kelas sebagai aktiviti rutin dalam P&P juga boleh membantu murid memupuk keberanian dan keyakinan untuk bercakap di khalayak. Apabila ia telah menjadi sesuatu yang rutin, secara tidak langsung keyakinan dalam diri murid-murid akan terbina.

5

Tempoh masa yang diberikan untuk menyelesaikan isu:

·         Saya akan menangani isu ini sepanjang tempoh saya menjalani praktikum kerana saya akan cuba mengaplikasikan kemahiran berfikir secara krits dan kreatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.


6

Pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan:

·         Semoga usaha ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan konsisten selagi saya bergelar guru bagi menanamkan potensi diri yang positif dalam diri pelajar. Saya juga mengharapkan pelajar memberi kerjasama yang menggalakkan dalam aktiviti yang dilaksanakan sewaktu sesi pembelajaran.





7





Tindakan Susulan:

  • Guru membuat aktiviti yang melibatkan murid-murid untuk bercakap dan berkongsi aktiviti yang telah di buat di hadapan kelas. Sebagai permulaan, isi yang ingin dikongsi itu adalah perkara yang amat dekat dengan diri murid dan mudah untuk diceritakan kepada orang lain.
  • Selain itu, guru merancang aktiviti yang memerlukan murid-murid menulis beberapa ayat pendek tentang sesuatu topik. Kemudian, apabila melakukan pembentangan guru hanya perlu meminta murid-murid membaca kembali apa yang telah ditulis di hadapan kelas dengan suara yang kuat.

Kesimpulan:

·         Kebanyakan murid kurang menyukai aktiviti yang melibatkan mereka untuk bercakap atau membuat aktiviti di hadapan kelas berhadapan dengan orang ramai walaupun pendengarnya merupakan rakan sekelas yang telah mereka kenali. Namun, aktiviti sebegini yang seharusnya mendapat penglibatan dari semua murid bagi membina keyakinan diri, keberanian bercakap di khalayak dan berani meluahkan apa yang mereka rasakan dan fikirkan. Dek kerana ketidakbiasaan melakukannya, maka murid-murid enggan dan berasa malu apabila diminta bercakap di hadapan di mana semua mata dan perhatian ditumpukan kepadanya. Setiap perkara baru pasti sukar untuk dimulakan dan dilakukan. Di sinilah peranan guru untuk memberi peluang dan galakan kepada murid-murid untuk mencungkil dan menggunakan potensi diri ke arah yang lebih baik.

JURNAL PRAKTIKUM MINGGU 10



JURNAL REFLEKTIF MINGGU KE 10

(31 MARCH 2014 hingga 03 APRIL 2014 )

NamaPelajar   : Rodziah Bte Mohd Salleh @ Zakaria
Opsyen           : Pendidikan Islam
NamaSekolah : SK IJ Convent
Tarikh              : 31  MARCH 2014 – 03 APRIL 2014



1

Isu / Masalah / Peristiwa:

  • Pada  minggu lepas, saya telah mengajar kelas 4 emas, nilam dan zamrud. Pada akhir waktu kelas, saya menyuruh semua murid menghantar buku latihan mereka untuk disemak. Namun begitu, murid ramai yang tidak menghantar buku latihan mereka. Saya juga memberi peluang kepada mereka untuk menghantar buku latihan di luar waktu Pendidikan Islam, namun mereka tetap tidak menghantarnya.
.


2

Pandangan Dan PerasaanTerhadap Isu / Masalah / Peristiwa

·         Pada pandangan saya, gejala tidak menghantar buku latihan ini perlu dibendung dengan segera. Ini kerana jika dibiarkan sikap murid yang tidak menghantar buku latihan ini akan menyebabkan mereka malas melaksanakan tugasan dan mengambil sikap sambil lewa terhadap pelajaran . Budaya ini perlu dibendung agar tidak melahirkan pelajar yang kurang dinamik.



3

AnalisisIsu / Masalah / Peristiwa:
3.1)  Punca / Sebab:
  • Menurut Coleman, Hoffer dan Kilgore (1981), menyatakan bahawa kerja rumah merupakan satu bentuk latihan yang perlu untuk membentuk persekitaran dan pencapaian akademik yang cemerlang. Sekiranya murid – murid tidak menyiapkan kerja rumah, maka guru sukar membuat penilaian terhadapa prestasi pembelajaran semasa murid tersebut.
·         Menurut data yang diperolehi daripada National Assessment of  Educational Progress (NAEP), didapati bahawa kebanyakan pelajar dalam semua tahap
memperuntukkan masa kurang sejam secara puratanya untuk melaksanakan kerja rumah. Faktor yang menyebabkan kegagalan murid-murid menyiapkan kerja rumah ialah bebanan kerja rumah yang terlampau banyak sehingga murid-murid merasa terbeban dengan kerja rumah yang diberikan setiap hari.
·         Disamping itu, jadual harian yang padat turut memberikan kesan kepada murid untuk menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru. Ini kerana murid berada di sekolah dengan aktiviti yang pelbagai terlalu lama berbanding masa di rumah.Ini ditambah lagi dengan kelas tambahan yang perlu dihadiri secara peribadi di waktu malam.
·         Ketidakfahaman terhadap sesuatu mata pelajaran juga turut menyebabkan murid tidak menghantar kerja rumah kerana tiada bimbingan untuk menyiapkan kerja rumah di pihak ibu-bapa.
·         Selain itu, sikap tidak minat terhadap sesuatu matapelajaran turut menyumbang kepada sikap malas dan tidak mahu mencuba menyelesaikan kerja rumah yang diberikan oleh pihak guru.

3.2)  Kelemahan / kekuatan:
·         Kelemahan yang didapati sekiranya murid tidak menghantar buku latihan ialah guru tidak dapat menilai prestasi murid tersebut.  Guru juga tidak dapat membuat penilaian terhadap prestasi pengajaran dan menyelidik kembali kelemahan guru sewaktu proses penyampaian ilmu kepada murid.
·         Kerja rumah turut memberikan banyak kesan postif kepada murid - murid. Ini kerana ianya bukan sahaja menjadi faktor kepada peningkatan pencapaian akademik tetapi ianya juga mampu untuk melatih murid - murid menjadi individu yang lebih bertanggungjawab (Curtis& Nourie, 1989; Eipstein, 1988; Johnson & Pontius, 1989; Stein, 1988;Worsham, 1981). Kerja rumah juga akan berfaedah bila mana ianya disediakan berkait dengan tajuk dan objektif pembelajaran, sesuai dengan tahap kemampuan murid, dikumpul dan dibincang di dalam kelas, disokong oleh ibu bapa, diberikan secara kerap dan diberikan dengan tujuan untuk melihat maklum balas terhadap pengajaran guru.

4

Cadangan idea untuk menyelesaikan isu:

·         Pihak guru boleh mengambil pelbagai inisiatif positif untuk menggalakkan murid menyiapkan tugasan yang diberikan . Antaranya ialah :
1.    Melaksanakan kaedah ganjaran untuk mengalakkan murid menyiapkan kerja sekolah di rumah. Contohnya kaedah sticker. Melalui kaedah ini, guru menyediakan satu papan laporan yang ditampal didalam kelas yang mengandungi senarai nama pelajar dan tarikh latihan diberikan. Setiap kali murid menyerahkan latihan yang telah disiapkan, guru akan menyerahkan sticker kepada murid dan murid akan menampal sticker tersebut pada ruangan nama mereka. Ini dapat memberikan motivasi kepada pelajar untuk menyiapkan kerja rumah dimana hadiah akan diberikan pada akhir bulan.
2.    Sistem kawalan sosial memfokuskan tentang ganjaran dan dendaan. Penyelesaian masalah ini dilakukan dengan mengenalpasti murid-murid yang sering tidak membuat latihan dan kerja rumah. Saya akan menyenaraikan nama murid yang bermasalah ini dengan bergerak ke setiap kumpulan untuk mengenalpasti nama mereka. Teguran dan amaran lisan akan dikenakan dahulu. Sekiranya murid-murid masih leka, saya akan menyuruh mereka datang ke meja guru dan membuat latihan tersebut di hadapan saya. Hal ini membolehkan saya memerhatikan kerja mereka dan memastikan mereka melaksanakan tugasan yang diberi oleh guru.
3.    Selain itu, saya juga cuba untuk refleks tentang cara pengajaran saya dalam memastikan murid boleh mengikuti langkah pengajaran saya. Justeru, untuk menaikkan semangat murid-murid agar menyiapkan kerja rumah yang diberikan, saya akan memberikan peneguhan positif seperti memberikan cop perkataan baik, bagus, pandai dan rajin apabila menyemak lembaran kerja mereka. Teori Bandura menekankan bahawa motivasi akan mendorong penglibatan murid dengan lebih berkesan dalam sistem pembelajaran. Kata-kata perangsang sedemikian juga akan memberi motivasi kepada murid-murid untuk terus berusaha dengan lebih gigih untuk menyiapkan kerja mereka kerana mereka akan berasa kerja mereka dihargai dan disanjungi.

5

Tempoh masa yang diberikan untuk menyelesaikan isu:

·         Saya akan cuba mengatasi masalah ini untuk sesi pengajaran akan datang dan akan sentiasa bersedia dengan kerenah murid-murid yang selalu memberikan pelbagai alasan. Saya akan cuba pastikan murid-murid tersebut menghantar buku untuk disemak supaya saya dapat mengenalpasti kelemahan setiap pelajar saya.


6

Pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan:

·         Saya mengharapkan murid-murid akan memberikan tindak balas yang positif terhadap tindakan penambahbaikan yang diambil bagi mengatasi masaalah murid tidak menghantar kerja rumah. Saya juga akan melaksanakan kaedah pemulihan ini secara berperingkat-peringkat agar perlaksanaannya memberi impak positif terhadap murid-murid SK IJ Convent.


7


Tindakan Susulan:

  • Sebagai tindakan susulan, saya akan sentiasa memastikan:
1.    Lembaran kerja yang diberi harus diteliti dan disemak selalu bagi mengenalpasti murid-murid yang sering tidak menghantar buku-buku mereka.
2.    Memanggil murid yang tidak menyiapkan kerja rumah dengan meminta mereka memberitahu masalah yang dihadapi.
3.    Pertandingan berbentuk kuiz berkumpulan akan diberikan kepada murid-murid yang dapat menjawab dengan betul akan diberi hadiah sebagai perangsang dan motivasi.
·         Saya yakin sekiranya semua usaha-usaha yang dicadangkan di atas diaplikasi dan diambil perhatian oleh semua pihak, masalah ini dapat diatasi dengan segera. Murid-murid juga harus diberi kesedaran oleh guru tentang kelemahan diri mereka. Guru perlu sabar dan sanggup berusaha keras untuk mempertingkatkan prestasi murid melalui pantauan berterusan terhadap latihan dan kerja rumah murid.