Tuesday 29 April 2014

JURNAL PRAKTIKUM MINGGU 11



JURNAL REFLEKTIF MINGGU KE 11

(06 APRIL 2014 hingga 10 APRIL 2014 )

NamaPelajar   : Rodziah Bte Mohd Salleh @ Zakaria
Opsyen           : Pendidikan Islam
NamaSekolah : SK IJ Convent
Tarikh              : 06  APRIL 2014 – 10 APRIL 2014



1

Isu / Masalah / Peristiwa:

  • Masalah minggu ini berkaitan dengan tindakbalas murid apabila disuruh tampil ke hadapan kelas dan memberikan pandangan. Mereka hanya berdiam diri dan mengatakan “tidak tahu” kerana tiada keyakinan untuk mengutarakan pendapat sendiri.
.


2

Pandangan Dan PerasaanTerhadap Isu / Masalah / Peristiwa

Alhamdulillah, kesemua murid di dalam kelas tersebut tidak menimbulkan banyak masalah bahkan setiap aktiviti yang telah saya rancang untuk mereka dapat dijalankan dengan baik dan jayanya. Namun demikian, apabila ada aktiviti yang melibatkan pembentangan di hadapan kelas, agak sukar untuk mendapatkan murid secara sukarela membuat pembentangan di hadapan kelas. Tujuan saya melibatkan mereka dalam aktiviti yang dirancang adalah supaya mereka dapat berkongsi apa yang mereka rasa atau fikirkan dengan rakan-rakan yang lain. Selain itu, tujuan saya juga adalah untuk melatih mereka untuk berkomunikasi di hadapan umum. Apa yang mereka perlu buat adalah membaca teks atau memberikan pendapat mereka yang tidak mempunyai hukum salah atau betul. Apa yang berlaku biasanya adalah kebanyakan murid akan mula menundukkan kepala atau ada yang menuding jari ke arah murid-murid lain dan menyebut nama rakan lain apabila diminta mengutarakan pendapat di hadapan kelas.


3

AnalisisIsu / Masalah / Peristiwa:
3.1)  Punca / Sebab:
  • Menurut Nurabadi (2007) antara sebab murid malu untuk bertanya ialah kerana tidak yakin dengan diri sendiri dan bimbang diketawakan oleh orang lain. Begitu juga untuk bercakap di hadapan kelas.
  • Pada pandangan saya, persamaan dua perkara ini ialah orang yang bercakap di hadapan akan menjadi tumpuan seluruh kelas. Jadi apa yang dilakukan akan menjadi tontonan umum. Kalau salah atau ada yang tidak kena, pasti akan ditertawakan. Selain itu, mereka juga mungkin tidak biasa untuk bercakap di hadapan kelas kerana ia tidak menjadi amalan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran lain. Perkara ini akan berlaku apabila guru mengamalkan interaksi sehala dengan murid-murid. Aktiviti pembelajaran ini dipanggil pembelajaran bercorak pasif di mana hanya guru yang bercakap dan murid-murid hanya mendengar.
  • Menurut Teori Psikososial Erikson (1963), pada usia 9 tahun murid mengalami fasa industri lawan rasa rendah diri. Bagi membantu murid menguasai kemahiran bercakap di khalayak, guru perlu memberi bimbingan dan galakan supaya murid tidak berasa rendah diri dalam pencapaian akademik kelak bahkan dalam hubungan sosial denga individu lain di persekitaran mereka.

3.2)  Kelemahan / kekuatan:
·         Kelemahan yang bakal wujud sekiranya isu ini tidak dibendung ialah bakal melahirkan generasi yang kurang berdaya saing dan tidak mempunyai pemikiran yang kreatif dan kritis dalam mengendalikan masalah. Disamping itu, mereka juga tidak berani membuat perubahan menyebabkan Negara tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang inovatif serta dinamik.
·         Kekuatan yang  dapat dilihat sekiranya isu ini dibendung ialah dapat melahirkan generasi yang berdaya tahan tinggi serta tenaga kerja yang profesional serta berkualiti.

4

Cadangan idea untuk menyelesaikan isu:

  • Setelah menganalis masalah di atas, apa yang saya boleh lakukan ialah bergerak ke tempat di mana murid tersebut duduk dan memimpinnya bergerak ke hadapan sambil mengatakan kepadanya yang guru akan menemaninya di hadapan. Jika dia berdiam diri, bantunya dengan mengucapkan apa yang sepatutnya disampaikan agar murid dapat mengikuti apa yang guru ucapkan.
  • Selain itu, berikan galakan kepada murid-murid yang telah membentang di hadapan. Contohnya arahkan semua murid memberi tepukan kepadanya. Guru juga boleh memberi galakan dengan memberikan kata-kata pujian dan positif seperti ”Bagus!” dan ucapan terima kasih. Pemberian hadiah contohnya coklat atau apa sahaja juga boleh membantu menggalakkan murid-murid untuk bercakap di hadapan kelas. Ia perlu diberikan sejurus selepas murid tersebut telah bercakap di hadapan agar dapat menyuntik motivasi ekstrinsik dalam diri murid-murid yang lain supaya mahu bercakap di hadapan kelas.
  • Menjadikan aktiviti pembentangan di dalam kelas sebagai aktiviti rutin dalam P&P juga boleh membantu murid memupuk keberanian dan keyakinan untuk bercakap di khalayak. Apabila ia telah menjadi sesuatu yang rutin, secara tidak langsung keyakinan dalam diri murid-murid akan terbina.

5

Tempoh masa yang diberikan untuk menyelesaikan isu:

·         Saya akan menangani isu ini sepanjang tempoh saya menjalani praktikum kerana saya akan cuba mengaplikasikan kemahiran berfikir secara krits dan kreatif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.


6

Pelaksanaan langkah-langkah penambahbaikan:

·         Semoga usaha ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan konsisten selagi saya bergelar guru bagi menanamkan potensi diri yang positif dalam diri pelajar. Saya juga mengharapkan pelajar memberi kerjasama yang menggalakkan dalam aktiviti yang dilaksanakan sewaktu sesi pembelajaran.





7





Tindakan Susulan:

  • Guru membuat aktiviti yang melibatkan murid-murid untuk bercakap dan berkongsi aktiviti yang telah di buat di hadapan kelas. Sebagai permulaan, isi yang ingin dikongsi itu adalah perkara yang amat dekat dengan diri murid dan mudah untuk diceritakan kepada orang lain.
  • Selain itu, guru merancang aktiviti yang memerlukan murid-murid menulis beberapa ayat pendek tentang sesuatu topik. Kemudian, apabila melakukan pembentangan guru hanya perlu meminta murid-murid membaca kembali apa yang telah ditulis di hadapan kelas dengan suara yang kuat.

Kesimpulan:

·         Kebanyakan murid kurang menyukai aktiviti yang melibatkan mereka untuk bercakap atau membuat aktiviti di hadapan kelas berhadapan dengan orang ramai walaupun pendengarnya merupakan rakan sekelas yang telah mereka kenali. Namun, aktiviti sebegini yang seharusnya mendapat penglibatan dari semua murid bagi membina keyakinan diri, keberanian bercakap di khalayak dan berani meluahkan apa yang mereka rasakan dan fikirkan. Dek kerana ketidakbiasaan melakukannya, maka murid-murid enggan dan berasa malu apabila diminta bercakap di hadapan di mana semua mata dan perhatian ditumpukan kepadanya. Setiap perkara baru pasti sukar untuk dimulakan dan dilakukan. Di sinilah peranan guru untuk memberi peluang dan galakan kepada murid-murid untuk mencungkil dan menggunakan potensi diri ke arah yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment